3/12/2012

16 maut askar AS mengamuk

 Tembak penduduk selepas menceroboh mashu ke dalam rumah mangsa

KABUL: Kira-kira 16 orang awam Afghanistan maut semalam apabila seorang anggota tentera Amerika Syarikat mengamuk dengan melepaskan tembakan selepas menceroboh masuk beberapa kediaman penduduk di selatan negara itu.
“Pada jam 3 pagi waktu tempatan seorang askar Amerika keluar dari pangkalan tentera dan mula menembak penduduk awam. Sepuluh hingga 16 orang terbunuh,” kata jurucakap gabenor selatan Kandahar, Ahmad Jawed Faysal.
Dia kemudian ditahan selepas pulang ke markas tentera, kata Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) dalam satu kenyataan.

“Seorang askar Amerika ditahan hari ini berkaitan kejadian yang menyebabkan kematian penduduk awam Afghanistan di Kandahar. Apa yang kami tahu setakat ini ialah kematian berlaku di dua kampung iaitu Alokozai dan Garrambai di daerah Panjwayi.

“Satu kumpulan penyiasat dihantar untuk mengumpul maklumat kejadian yang berlaku selain memastikan angka kematian dan yang cedera,” kata Faysal.

Kejadian terbaru mungkin perbuatan membalas dendam selepas beberapa kejadian yang menyaksikan tentera Afghanistan menembak mati anggota tentera Amerika menyebabkan enam orang askar asing itu maut selepas kes al-Quran dibakar di pangkalan tentera.
Maklumat mengenai punca dan motif tindakan anggota tentera Amerika itu belum diketahui.

“Kejadian ini amat dikesali dan kami bersimpati dengan keluarga mangsa yang terbabit. Pasukan Amerika dan Afghanistan (USFOR-A) dengan kerjasama pihak berkuasa Afghanistan, akan menyiasat kejadian itu dan menyiarkan maklumat lanjut,” kata ISAF.

Kes membakar al-Quran mencetuskan bantahan ganas anti Amerika yang meragut 40 nyawa hingga menyebabkan hubungan tentera asing dan askar Afghanistan terjejas teruk serta memaksa Presiden Barack Obama meminta maaf.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kemudian mengundurkan semua penasihatnya daripada kementerian Afghanistan selepas dua pegawai Amerika ditembak mati dalam bangunan Kementerian Dalam Negeri, dipercayai ada kaitan dengan kes membakar al-Quran.

Daripada 60 anggota NATO yang terbunuh tahun ini, 18 peratus iaitu hampir seorang setiap lima orang, meninggal dunia di tangan tentera Afghanistan termasuk empat tentera Perancis, seorang warga Albania selain enam rakyat Amerika. – AFP, Sumber

No comments:

Post a Comment