PEKAN: Datuk Seri Najib Razak menganggap tindakan Datuk Seri Shahrizat
Abdul Jalil mengundurkan diri daripada jawatan dalam Kabinet adalah
keputusan yang betul dan tepat serta satu pengorbanan demi kepentingan
kerajaan dan parti.
Perdana Menteri berkata, beliau amat menghargai pengorbanan Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dan berterima kasih atas
keputusan berkenaan.
“Walaupun tiada bukti beliau melakukan kesalahan dari segi
undang-undang, namun isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) mengundang banyak
kontroversi.
“Justeru beliau membuat keputusan untuk tidak
membebankan kerajaan dan parti dengan tidak meneruskan khidmat beliau
dan ini keputusan yang betul dan tepat.
“Ini pengorbanannya
demi kepentingan kerajaan dan parti dan kami amat menghargai
pengorbanannya,” katanya pada sidang media sebelum majlis tahlil
ayahandanya arwah Tun Razak Hussein di Masjid Sultan Ahmad Shah, di sini
lewat petang semalam.
Shahrizat pada sidang medianya semalam
mengumumkan akan berundur sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat pada 8 April ini selepas tamat penggal sebagai Ahli Dewan
Negara.
Bagaimanapun, beliau akan terus menerajui Wanita UMNO bagi
menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh akar umbi.
Selain itu, Najib menyarankan semua ahli parti terutama Wanita UMNO meneruskan sokongan mereka kepada Shahrizat.
“Ini kerana Wanita UMNO adalah jentera penting Barisan Nasional (BN)
dan mempunyai kekuatan bagi menghadapi pilihan raya nanti,” katanya.
Ditanya sama ada keputusan Shahrizat tidak melepaskan jawatan Ketua
Wanita UMNO akan digunakan pembangkang sebagai isu, Najib berkata itu
terpulang kepada pihak terbabit.
“Tidak apalah... maknanya yang
betul sekarang jawatan Wanita ini adalah yang dipilih parti dan jawatan
dalam kerajaan ini yang mengundang pertikaian dan kontroversi,”
katanya.
Ditanya bila akan mengumumkan pengganti Shahrizat,
beliau berkata perkara itu akan dimaklumkan kemudian dan akan membuat
keputusan apabila tiba masanya.
Tindakan wajar dicontohi pemimpin lain
KUALA
LUMPUR: PKR menyifatkan keputusan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
berundur daripada jawatan itu bulan depan, sebagai tindakan berani
seorang pemimpin politik.
Malah, parti itu mendakwa, tindakan
Shahrizat yang juga Ketua Wanita UMNO amat tepat dan membuktikan beliau
memahami kehendak rakyat.
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin,
mendakwa tindakan Shahrizat wajar dicontohi oleh pemimpin lain yang
terpalit isu rasuah, namun ia tidak menghalang pembangkang untuk terus
membongkar isu National Feedlot Corporation (NFC Corp) yang mengaitkan
keluarga beliau.
“Kita sudah serahkan usul tergempar kepada
Parlimen, Jumaat lalu supaya isu NFC dibahaskan di Parlimen dan saya
jangka ia akan dibentangkan Selasa ini,” katanya kepada Berita Harian,
semalam.
Shahrizat semalam mengumumkan akan berundur sebagai
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang disandangnya
sejak 2009 selepas tamat penggal sebagai Ahli Dewan Negara, pada 8 April
ini.
Zuraida dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli adalah
antara pemimpin pembangkang yang lantang mengkritik Shahrizat berhubung
isu NFC.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berharap
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan siasatan
terhadap Shahrizat.
“Secara peribadi saya berpendapat, jika ada
kes, SPRM kena teruskan pendakwaan. Jangan pula kata kes tutup sebab
dia sudah letak jawatan,” katanya.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, parti itu tidak menganggap peletakan jawatan Shahrizat sebagai kejayaan pembangkang.
“Tanggungjawab untuk membongkarkan penyelewengan adalah tanggungjawab
semua. Sebenarnya jika mahu membongkarkan penyelewengan tidak kira
siapa. Kalau dalam PAS sendiri ada penyelewengan, kita akan atasi,”
katanya. SUMBER: Abdul Razak Raaff dan Irwan Ismail
No comments:
Post a Comment