TELEKOM Malaysia Berhad (TM) yakin dapat mencapai peningkatan
pelanggan jalur lebarnya kepada dua juta menjelang akhir tahun ini
selari strateginya untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan dengan
kualiti jalur lebar menyeluruh walaupun di luar kediaman.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sri Zamzamzairani Mohd Isa
berkata, TM juga sudah menambah bilangan lokasi WiFinya daripada 10,982
lokasi pada akhir 2010 kepada 19,799 lokasi akhir tahun lalu iaitu
pertambahan lebih 80 peratus tahun ke tahun.
Katanya, jumlah pelanggan jalur lebar pada 2011 pula meningkat 12.3 peratus kepada 1.92 juta berbanding 1.71 juta pada 2010 dan kerana itu, pihaknya komited untuk mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju jalur lebar di Malaysia.
“Kami menyasarkan untuk menjadi pemangkin bagi seluruh negara
berhubung, berkomunikasi dan berkolaborasi ke arah gaya hidup digital
yang bersepadu dan sasaran utamanya untuk meluaskan kepimpinan pasaran
dan memperbaiki kecekapan operasi.
“Malah, menjangkakan saingan akan meningkat dalam pasaran jalur lebar, terutama ruang jalur lebar mudah alih dan tetap. Kami juga melihat saingan dalam jalur lebar tetap yang meliputi gabungan perkhidmatan jalur lebar dan Pay-TV yang menyasarkan bangunan tinggi utama,” katanya di Kuala Lumpur.
Menurutnya, pada 2011 TM sudah berjaya melangkaui liputan kepada 1.1 juta premis sedia dipasang dan syarikat berada di kedudukan yang tepat untuk mencapai 1.3 juta premis sedia dipasang menjelang akhir 2012.
Zamzamzairani berkata, selari dengan komitmen berterusan TM untuk
menyediakan peluang sama rata dan saksama kepada pembekal perkhidmatan
lain. TM juga sudah menandatangani dengan dua lagi syarikat pencari
akses pada 2011 bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan
tinggi (HSBB) secara pukal.
“Selain itu, TM turut menandatangani perjanjian perkhidmatan HSBB dengan 11 pemaju hartanah untuk melaksanakan infrastruktur serta perkhidmatan rangkaian HSBB ke kawasan pembangunan perumahan yang baru.
“ICT dan Penyumbangan Luar Proses Perniagaan (BPO) akan menjadi
salah satu fokus strategik syarikat tahun ini selari dengan transformasi
TM untuk menjadi pembekal ICT dan BPO yang disegani, seterusnya ke arah
menjadi pusat data dan kandungan,” katanya.
Beliau berkata, TM juga mencatatkan jumlah pelanggan tertinggi dalam segmen HSBB di seluruh Asia Tenggara dan meletakkan kedudukannya sebagai hab IP serantau pilihan dengan memanfaatkan infrastruktur serta aset rangkaian globalnya. Sumber
No comments:
Post a Comment