SHAH ALAM: Misteri ‘van putih’ kini kembali apabila mangsa culik
Nazatul Fadiana Mohd Izwan, 14, yang ditemui di Bangkok 11 Mac lalu,
dikatakan diculik sekumpulan lelaki tidak dikenali menaiki van berwarna
putih sewaktu berada berdekatan sebuah restoran di Seksyen 9, di sini
pada hari kejadian 30 Januari lalu.
Perkara itu diceritakan mangsa kepada ibunya dalam perbualan
telefon pada 12 Mac lalu selepas diselamatkan polis Thailand sewaktu
ditemui di Stesen Kereta api Hualamphong, Bangkok, Thailand.
“Ini kerana buat masa ini polis belum mendapat sebarang maklumat
daripada mangsa kerana dia masih dalam keadaan trauma dan menerima
rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya,”
katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam,
di sini, semalam.
Sebelum ini, sebuah van putih turut dikaitkan dengan kejadian penculikan Nurin Jazlin Jazimin, 8, di pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos, 2007.
Ada saksi ternampak Nurin ditarik masuk ke dalam sebuah van sebelum mayat mangsa ditemui disumbat dalam beg berhampiran PJS1, Petaling Jaya, beberapa hari kemudian. Kejadian sama berulang apabila seorang lagi kanak-kanak perempuan, Sharlinie Mohd Nashar, 5, turut dilaporkan hilang pada awal Januari 2008 selepas didakwa dilihat bersama seorang suspek dalam sebuah van putih di Cheras. Mangsa gagal ditemui sehingga kini.
Zahedi berkata, Nazatul Fadiana atau lebih dikenali sebagai Nana
akan terus mendapatkan rawatan di PPUM manakala lima warga Myanmar
masing-masing tiga lelaki dan dua perempuan yang diselamatkan bersama
mangsa kini masih berada di Bangkok, Thailand.
“Semua warga Myanmar terbabit berdaftar di bawah Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR). Mereka dibawa pulang ke Malaysia bagi membantu polis mengumpul bukti dan menjalankan siasatan menyeluruh,” katanya.
Menurutnya, Nana menaiki pesawat dari Lapangan Terbang
Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok dan tiba di Lapangan Terbang Tambang
Murah (LCCT), di Sepang, dengan diiringi ibunya, selain beberapa pegawai
polis dan imigresen Thailand, malam kelmarin.
“Sebaik mendarat, mangsa terus dikejarkan ke PPUM, Petaling Jaya untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya. Akhbar semalam melaporkan, Nazatul Fadiana dilaporkan hilang selepas dihantar ibunya ke perhentian bas di Seksyen 9, di sini bagi mengulang kaji pelajaran bersama rakannya, pada jam 3 petang, 30 Januari lalu.
Namun, sehingga malam hari kejadian, mangsa tidak pulang ke rumah sebelum ibunya membuat laporan polis di IPK Selangor. Selepas dua bulan dilaporkan hilang, mangsa diselamatkan polis Thailand yang menemuinya di Stesen Kereta Api Hua Lampong, Bangkok, bersama lima warga Myanmar, 11 Mac lalu. HM
No comments:
Post a Comment