3/18/2012

Salah faham punca penderma organ kurang

KUALA LUMPUR: Bantahan dan salah faham oleh ahli keluarga selepas individu yang berikrar menderma organ meninggal dunia adalah faktor pemindahan organ dan tisu tidak dapat dijalankan walaupun jumlah pengikrar penderma organ dan tisu meningkat setiap tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, hingga November lalu, jumlah pengikrar penderma organ dan tisu di negara ini mencecah 149,315 orang, namun hanya 309 orang yang menderma sejak kempen bermula pada 1997.
“Kebiasaannya memang terdapat salah faham oleh anggota keluarga penderma dari sudut agama, namun sehingga kini semua agama membenarkan pendermaan organ selepas kematian asalkan bukan untuk tujuan perdagangan.
“Alasan paling banyak diberikan adalah takut, masalah agama dan tidak mahu jenazah mengalami kesakitan selepas mati,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Justeru katanya, bagi menjelaskan kekeliruan masyarakat mengenai isu ini, pihaknya sudah menjemput wakil pelbagai pertubuhan agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), termasuk pertubuhan agama lain untuk turut serta dalam kempen dan promosi jawatankuasa berkenaan.

Katanya, mereka yang berhasrat mendermakan organ dinasihatkan supaya memaklumkan keluarga masing-masing terlebih dulu supaya tidak menimbulkan kekeliruan selepas mereka meninggal dunia sekali gus menghalang hasrat untuk menderma organ.
“Sehingga November lalu, 11,000 pesakit yang menunggu untuk mendapatkan buah pinggang, 25 orang memerlukan hati, enam memerlukan jantung dan tiga lagi paru-paru,” katanya.

No comments:

Post a Comment